KUALA LUMPUR:Pemilikan ekuiti Bumiputera masih belum mencapai sasaran yang ditetapkan kerajaan iaitu sebanyak 30 peratus, setakat ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Arthur Joseph Kurup berkata, tahap percapaian pemilikan ekuiti yang  diterbitkan pada 2015 hanya mencatatkan 16.2 peratus.

“Äntara sebab-sebab ekuiti Bumiputera belum mencapai sasaran adalah penyertaan guna tenaga Bumiputera dalam pekerjaan mahir dan profesional masih rendah serta terlibat dalam pekerjaan yang berpendapatan rendah.

“Kedua, kedudukan kewangan Bumiputera yang kurang kukuh menghalang pemilikan aset dan penglibatan yang terhad dalam keusahawanan dan rangkaian bekalan.

“Selain itu, pemilikan ekuiti korporat yan rendah menyebabkan Bumiputera tiada penguasaan yang efektif,” katanya di Dewan Rakyat, di sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Ahmad Maslan (Barisan Nasional-Pontian) mengenai kejayaan menambah ekuiti Bumiputera dalam sektor korporat, sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata kerajaan komited memperkasakan Bumiputera menerusi Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12) yang dijadual untuk dibentangkan di Dewan Rakyat pada tahun depan.

“Sudah sampai masanya Bumiputera diberikan lonjakan berganda menerusi pembentukan budaya keusahawanan dan kita akan menceburi industri yang strategik dan berimpak tinggi, berpotensi serta mempunyai nilai tambah yang tinggi,” jelasnya.