Muktamar Dewan Ulama PAS ke-57 hari ini mengetengahkan usul agar kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang memberi kenyataan berbaur anti-Islam termasuk isu undang-undang syariah.

Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Mohd Asri Mat Daud berkata usul itu dipersetujui setelah menyedari adanya tindakan dan usaha negatif yang cuba melemahkan kedudukan Islam.

"Kami mendesak pemimpin negara agar sentiasa bertegas dengan kedudukan istimewa Islam seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Mendesak agar tindakan tegas dikenakan atas kenyataan yang anti-Islam termasuklah kenyataan yang memperlekehkan undang-undang syariah.

"Kami juga mengesa kerajaan menyelesaikan masalah berkaitan rakyat termasuk isu lesbian, gay biseksual dan transgender (LGBT) dan seumpamanya berasaskan prinsip Islam," katanya ketika membacakan usul itu yang dipersetujui hampir 600 perwakilan.

Usul tersebut akan dibentangkan bersama-sama dua usul lain pada Muktamar Tahunan PAS Ke-64 pada Sabtu dan Ahad ini.

Selain itu, dewan turut mendesak PAS menubuhkan jawatankuasa integriti bagi menangani isu ketelusan dalam pentadbiran parti tersebut bagi mengelak fitnah disebarkan.

Usul lain ialah dalam bidang pendidikan iaitu mendesak kerajaan tidak mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) sebagai syarat kemasukan ke universiti awam dan kerajaan mengambil pendirian tegas dan jelas untuk memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi.

-- BERNAMA