Seorang anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang, menerima rawatan di Hospital Gua Musang selepas dipercayai terkena jangkitan demam campak.

Anggota berkenaan antara yang bertugas dalam Op Batek di Kuala Koh, Gua Musang, Kelantan baru-baru ini.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan mengesahkan anggotanya terkena jangkitan ‘chicken pox’ atau campak biasa yang tidak serius dan bukannya dijangkiti dari Orang Asli Batek.

Anggota berpangkat Lans Koperal berusia 30-an itu dijangkiti penyakit berkenaan selepas sehari tamat bertugas dalam Op Batek pada 23 Jun lepas.

Selesai operasi, anggota yang bertugas sebagai jurugambar itu mengadu demam sebelum mendapatkan rawatan dan ditahan di wad Hospital Gua Musang untuk rawatan lanjut.

"Sehingga kini anggota itu masih lagi berada di hospital. Pihak doktor mengesahkan penyakit itu bukan seperti yang dijangkiti oleh kaum Orang Asli Batek tetapi dia terkena campak biasa iaitu chicken pox," kata Hasanuddin pada Ahad.

Tambahnya, hanya anggota berkenaan yang dilaporkan dijangkiti penyakit itu.