KUNJUNGAN penulis ke Pusat Jagaan Al-Fikrah Malaysia, iaitu pusat kebajikan warga terdampar lelaki dan wanita yang terletak di Kampung Sungai Sekamat, Kajang, Selangor baru-baru ini disambut oleh suara merdu menyanyikan lagu Bunga Tanjung.

Nyata suara itu apabila didekati, ia dinyanyikan oleh seorang penghuni pusat tersebut yang sesuai digelar sebagai nenek bagi penulis kerana usianya sudah menjangkau 88 tahun.

Masih bertenaga untuk berjalan dan bernyanyi pada usia lanjut itu memang mengagumkan penulis, sambil nyanyiannya diperhatikan oleh beberapa lagi penghuni yang kebanyakannya warga emas.

Kemudian, ketika mahu berlalu menemui pengerusi pusat tersebut, penulis sempat memerhati dan bersalaman dengan beberapa penghuni yang bagi penulis seperti ibu dan nenek sendiri. Terukir senyuman kegembiraan apabila mendapat tetamu di pusat tersebut dan melambai-lambai ke arah penulis. Pun begitu ada kalangan penghuni yang penulis lihat terbaring di katil masing-masing dan ada juga penghuni lelakinya kelihatan serius yang hanya memerhatikan gerak-geri penulis.

Pengerusi Pusat Jagaan Al-Fikrah, Mohd Azmi Md Zain, 60, berkata, rata-rata penghuni pusat tersebut adalah mereka yang dihantar oleh keluarga, ada yang sebatang kara, dibuang keluarga, dihantar oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat, dihantar oleh pihak hospital kerana tiada waris yang menuntut setelah beberapa bulan dan juga dihatar oleh Pusat Zakat.

"Keadaan mereka pula, kebanyakannya semua ada penyakit tersendiri yang memerlukan penjagaan khusus dan ada yang kekal terlantar di katil dan sepenuhnya memerlukan khidmat bantuan daripada kakitangan pusat ini.

"Namun, bagi kami, mereka bukanlah beban kerana fungsi pusat ini adalah memberi tempat yang selesa dan menjaga mereka sehingga akhir usia kerana mereka adalah amanah yang perlu diberi kasih sayang dan perhatian setelah diabaikan oleh keluarga atau masyarakat lain," ujarnya.

Tidak ada yang mampu jaga

Penulis juga diberi kesempatan melawat bilik penghuni wanita dan nyata kehadiran penulis amat disambut baik oleh mereka.

Salah seorang penghuni bilik itu yang duduk di birai katilnya cuba penulis dekati dan santuni. Memperkenalkan diri sebagai Aminah - bukan nama sebenar, 86 tahun, merupakan seorang ibu yang dihantar anaknya kerana perlu penjagaan yang lebih terperinci kerana faktor kesihatan.

"Anak acik tinggal di Puchong (Selangor) dengan acik sebelum ini. Tapi tempat kerja dia jauh di Kuala Lumpur, jadi ulang alik jauh, tak sempat nak urus acik.

"Acik tak sihat, buah pinggang dah buang sebelah, dan ada darah tinggi. Jadi perlu penjagaan yang lebih. Acik tak boleh urus sendiri, sebab itu anak hantar acik ke sini.

"Seronok tak seronok acik dah terpaksa. Macam awak (penulis) ada keluarga dan saudara mara tapi hantar awak ke sini, seronok tak? Tak seronok kan? Soalnya pula kepada penulis.

Namun, Aminah yang mampu berjalan dengan bantuan tongkat mengakui, anak serta cucu dan cicitnya selalu melawatnya di pusat tersebut dan memberikan wang belanja.

Ditanya sama ada tindakan anaknya menghantar ke pusat tersebut menyebabkan dirinya terkilan, Aminah berkata, dia tidak memarahi tindakan anaknya itu.

"Nak buat apa marahkan anak. Sebab tak ada orang jaga acik di rumah. Anak acik kerja bermula jam 6 pagi sudah keluar rumah, sampai rumah jam 8 malam, jadi daripada acik tinggal seorang di rumah yang membahayakan diri sendiri, lebih baik acik diberi layanan seperti di pusat ini apabila ada pihak yang boleh menguruskan acik.

"Di sini alhamdulillah, semua dijaga, makan pakai semua cukup dan ramai pula kawan boleh berbual di samping mengisi waktu lapang dengan kelas agama, jahitan dan berbagai lagi," katanya.

Dan sebelum penulis meninggalkannya, nenek ini sempat bertanyakan penulis sama ada masih mempunyai ibu dan berpesan agar jaga ibu dengan sebaiknya. Berkali-kali nenek itu berpesan kepada penulis. - Noor Ainulyakin Ishak