Seorang wanita warga Filipina berdepan hukuman gantung apabila dicekup dalam satu serbuan Op Damn Tokan yang dilancarkan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Daerah (IPD) Semporna di kampung Tagasan Semporna pada Ahad.

Dalam serbuan kira-kira jam 4 pagi itu, wanita berumur 20 tahun itu dicekup bersama 615.61 gram dadah jenis syabu.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Sabarudin Rahmat dalam kenyataannya berkata turut dirampas bersama wanita tersebut ialah dua buah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota dan Ford Ranger, sebuah motokar jenis Proton Saga, Sebuah motorsikal dan dua unit televisyen LED.

"Anggaran nilai dadah yang dirampas ialah RM30,780.50 dan nilai harta yang disita berjumlah RM209,900.00 yang menjadikan jumlah keseluruhan barang rampasan sebanyak RM240,680.50 ," katanya.

Mengulas lanjut, Sabarudin berkata wanita tersebut kini ditahan reman selama tujuh hari bermula Isnin untuk siasatan.

"Kes disiasat di bawah seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori gantung sampai mati jika sabit kesalahan," ujarnya.