Dicekup kerana simpan video, gambar lucah bekas kekasih

Dicekup kerana simpan video, gambar lucah bekas kekasih
Remaja lelaki berusia 19 tahun itu ditahan di hadapan Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu, 5 petang, semalam. - Foto Sinar Harian
KUALA TERENGGANU: Gara-gara menyimpan koleksi video dan gambar lucah bekas kekasih di dalam telefon bimbit miliknya, seorang remaja dicekup polis, semalam.

Remaja lelaki berusia 19 tahun itu ditahan di hadapan Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu di Jalan Sultan Omar, di sini, kira-kira jam 5 petang.

Menurut sumber, tangkapan dilakukan susulan laporan polis yang dibuat oleh keluarga mangsa yang mendakwa suspek mengugut akan menyebarkan gambar dan video lucah yang pernah diberikan untuk simpanan remaja itu.

"Suspek dikatakan bertindak demikian kerana dendam dan tidak berpuas hati terhadap bekas kekasihnya disebabkan wanita itu curang dengannya.
"Sepanjang tempoh setahun menjalinkan hubungan, mangsa mengaku ada memberikan beberapa koleksi gambar dan video aksi lucah yang dirakam sendiri untuk simpanan suspek ketika itu.

"Namun, selepas hubungan cinta mereka terputus, mangsa meminta agar memadamkan semua koleksi lucah tersebut tetapi suspek enggan, malah turut berani mengugut akan menyebarkan semuanya ke dalam laman sosial," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Jelas sumber, sejurus ditahan, pemeriksaan ke atas tubuh badannya dilakukan tetapi tidak menemui sebarang benda yang menyalahi undang-undang sebelum suspek menyerahkan sebuah telefon bimbit miliknya.

"Pemeriksaan selanjutnya mendapati terdapat beberapa keping gambar dan video lucah milik mangsa yang disimpan di dalam telefon bimbit jenama Sony Xperia sebelum telefon berwarna putih itu dirampas.

"Turut dirampas satu set bateri telefon bimbit berwarna hitam jenis Sony, satu keping memori kad, satu keping sim kad Digi untuk siasatan susulan.

"Suspek seterusnya ditahan mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan kerana menyimpan bahan lucah yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan," katanya.

Sementara itu, Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Sesyen/Majistret Kuala Terengganu, Noradila Ab Latiff membenarkan suspek direman empat hari untuk siasatan lanjut bermula hari ini.