Kementerian Kesihatan menggalakkan golongan dewasa, khususnya yang mempunyai masalah kesihatan seperti diabetes, kanser dan Hepatitis B agar mengambil semula suntikan vaksin bagi mencegah penularan penyakit difteria.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata, wujud keperluan untuk pengambilan semula suntikan vaksin dalam kalangan orang dewasa kerana suntikan vaksin yang diambil semasa bayi biasanya hanya bertahan selama enam tahun.

Dr Hilmi memaklumkan, antibodi seseorang semakin menurun berikutan pertambahan usia dan ia lebih ketara kepada mereka yang dijangkiti penyakit seperti diabetes, tekanan darah tinggi, kanser, Hepatitis B dan sebagainya.

"Saya berpesan kepada mereka yang mengalami masalah kesihatan seperti kencing manis, kanser, Hepatitis B dan sebagainya, untuk berhati-hati.

"Lebih baik sekiranya mereka pergi ke klinik kerana ia akan menjejaskan kesihatan mereka, dan untuk orang dewasa, kita bagi percuma," katanya ketika mengulas kes pertama difteria membabitkan orang dewasa di Rembau, Negeri Sembilan, semalam.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan kementerian tidak berhasrat mewajibkan pengambilan semula suntikan vaksin kepada semua masyarakat memandangkan suntikan imunisasi percuma hanya diberikan oleh kerajaan sekali seumur hidup untuk setiap individu.

Dalam kes di Rembau berkenaan, seorang suri rumah berusia 41 tahun disahkan positif difteria dan kini menerima rawatan di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban selepas mengalami demam dan mengadu tonsil membengkak, serak suara serta sukar menelan.

Sehingga kini, jumlah kes terkumpul difteria adalah sebanyak 15 termasuk lima kematian iaitu di Melaka (tiga kes, satu kematian), Kedah (tujuh kes, satu kematian), Sabah (empat kes, tiga kematian) dan Negeri Sembilan satu kes.

Mengulas lanjut, Dr Hilmi berkata wanita dari Rembau itu bernasib baik kerana kesan penyakit difteria ke atasnya tidak terlalu teruk memandangkan beliau pernah mendapatkan suntikan vaksin sebelum ini.