Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar yang dihalang dari memasuki Sabah pada Khamis dimaklumkan akan mencabar tindakan yang dikenakan ke atasnya di mahkamah.

Setiausaha politik beliau, Fahmi Fadzil ketika dihubungi Astro Awani berkata Izzah akan membawa perkara ini ke mahkamah, namun tarikhnya masih belum ditetapkan.

“Saya akan berjumpa dengan dia (Nurul) untuk berbincang tentang ini dan beliau juga akan mengeluarkan kenyataan dalam masa terdekat,” katanya.

Fahmi juga memberitahu satu sidang media akan diadakan petang ini (Jumaat) berkaitan kejadian tersebut.

Sementara itu, PKR mengecam keras tindakan Pejabat Ketua Menteri Sabah menghalang seorang ahli parlimen yang dipilih rakyat dari memasuki Sabah.

Parti itu menyifatkan tindakan tersebut sebagai satu ‘tindakan autokratik dan tidak demokratik’.

“Umum sedia maklum, insiden ini bukanlah yang pertama,dan kemungkinan bukan yang terakhir.

“Oleh itu, KEADILAN menggesa Pejabat Ketua Menteri Sabah untuk memberi penjelasan sepenuhnya mengapa YB Nurul Izzah dihalang masuk, serta menarik balik serta-merta halangan tersebut,” menerusi sebuah kenyataan Pengarah Komunikasi PKR Nik Nazmi Nik Ahmad.

Parti itu juga menggesa Pejabat Ketua Menteri Sabah untuk mengumumkan sepenuhnya senarai ‘persona non grata’ (mereka yang dihalang masuk) negeri Sabah dan sebab nama-nama ini dimasukkan ke dalam senarai tersebut.

Peguam Nurul, Darell Leiking turut mengecam tindakan tersebut serta menyoal kenapa seorang rakyat Malaysia tidak dibenarkan menyambut perayaan Kaamatan bersama penduduk Kadazan di sana.

“Hak kemasukan adalah hak perlembagaan kerajaan Sabah, namun ia tidak boleh disalahgunakan,” katanya.

Darell yang juga Ahli Parlimen Penampang turut mencabar Ketua Menteri dan kabinet negeri Sabah untuk tampil memberi penjelasan kepada rakyat Malaysia tentang sebab perkara ini terjadi.

Nurul juga telah dilaporkan dihalang oleh pihak imigresen untuk berjumpa dengan Darell di sana sebelum dihantar pulang.

Sementara itu, Nurul dalam satu sidang medianya di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya menjelaskan penahanan tersebut tidak demokratik.

"Sebagai seorang Ahli Parlimen Malaysia dan warganegara Malaysia, tindakan menyekat kemasukan yang tidak rasional dan bersebab ini merupakan salah guna kuasa yang melampau dan cukup anti-demokratik.

"Permohonan saya untuk mendapatkan senarai nama mereka yang terlarang ditolak atas sebab-sebab kerahsiaan.

"Sekiranya saya dianggap mengancam keselamatan warga Sabah, maka kemukakan rasional serta penjelasan atas dakwaan tersebut," jelas Nurul Izzah.

Izzah memberitahu PKR akan menghantar surat rasmi ke Pejabat Ketua Menteri Sabah untuk mengemukakan aduan serta mendapatkan penjelasan sepenuhnya mengenai isu ini.

"Ahli Parlimen Penampang Darrell Leiking akan mengetuai sebuah jawatankuasa guaman di Sabah untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Ketua Menteri yang akan difailkan di Kota Kinabalu kelak." tambah Izzah.

Pada Khamis, Nurul Izzah yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai telah ditahan oleh Jabatan Imigresen Sabah dan diarahkan pulang. Beliau dimaklumkan arahan tersebut dikeluarkan oleh Pejabat Ketua Menteri Sabah.

Beliau yang hadir untuk menyambut pesta Kaamatan bersama rakyat Penampang telah ditahan pada jam 7 malam ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, dan terus dihantar pulang serta dikatakan tidak dimaklumkan sebab beliau dihalang dari memasuki negeri itu.