Hasrat seorang datuk untuk membeli sarapan pagi untuk cucunya tidak kesampaian apabila dia maut dalam kemalangan jalan raya di Jalan Junjung, Kulim pagi tadi.

Dalam kejadian jam 10 pagi itu, mangsa Sulaiman Budin, 83 tahun, dipercayai baharu sahaja keluar dari rumahnya di Kampung Air Putih Junjung dengan menunggang motosikal bersendirian.

Mangsa ketika itu dipercayai cuba menyeberangi jalan dan berhenti di garisan tengah jalan.

Namun, secara tiba-tiba sebuah lori membawa muatan pasir yang datang dari arah bertentangan merempuh motosikal mangsa.

Akibat rempuhan kuat, motosikal mangsa diseret sehingga 10 meter sebelum mangsa tercampak ke dalam longkang.

Orang ramai yang ketika itu berada di gerai menjual nasi lemak bergegas untuk membantu mangsa.


Datuk
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulim, Superitendan Azhar Hashim, memaklumkan mangsa maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan.

Mayat mangsa kemudian di hantar ke Hospital Kulim untuk bedah siasat.

Pemandu lori terbabit telah ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kulim untuk membantu siasatan.

Kes di siasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.