KUALA LUMPUR:Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengucapkan tahniah kepada kerajaan Korea Selatan khususnya Menteri Perdagangan republik itu, Yoo Myung-hee yang terpilih sebagai dua calon akhir bagi merebut jawatan Ketua Pengarah Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).

Muhyiddin berkata perkara itu dimaklumkan oleh Presiden Korea Selatan Moon Jae-in menerusi panggilan telefon petang semalam.

Perdana Menteri berpandangan Yoo memiliki kepakaran dan pengalaman yang luas dalam pelbagai rundingan perdagangan selain memainkan peranan penting dalam Perjanjian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang dimuktamadkan baru-baru ini.

"Saya nyatakan kepada Tuan Yang Terutama Moon Jae-in bahawa kejayaan layak ke peringkat akhir pemilihan juga mencerminkan pengiktirafan dunia terhadap keupayaan dan kedudukan republik itu dalam persekitaran perdagangan global khususnya WTO.

"Saya mengucapkan selamat maju jaya kepada Korea Selatan dalam pemilihan akhir jawatan itu pada 7 Nov depan," katanya menerusi hantaran dalam laman Facebook rasmi beliau.

Perdana Menteri menegaskan WTO memerlukan seorang ketua pengarah yang bukan sahaja memiliki pengalaman dan pengetahuan yang luas mengenai sistem perdagangan pelbagai hala bahkan mesti mempunyai visi, kepimpinan dan kedudukan untuk membina semula WTO.

Muhyiddin berkata perbualan antara beliau dan Presiden Korea Selatan itu turut tertumpu kepada usaha meningkatkan hubungan dan perdagangan dua hala antara Malaysia dan Korea Selatan khususnya selepas penularan COVID-19 yang memberi kesan besar kepada ekonomi dunia.