Misteri bau busuk yang pada mulanya disangkakan berpunca daripada bangkai binatang akhirnya terbongkar dengan penemuan mayat seorang lelaki warga emas dipercayai sudah meninggal dunia sejak empat hari lalu, dalam kejadian di tebing Sungai Padas pada Isnin.

Dalam kejadian jam 2.50 petang itu mayat Yee Ket Fah, 66, ditemui oleh sekumpulan buruh warga asing yang terhidu bau busuk dari jarak kira-kira 30 meter daripada rumah mereka di lokasi berkenaan sebelum bergegas memaklumkan perkara itu kepada pihak polis.

Ketua Polis Daerah Beaufort; Deputi Superintendan Azmir Abdul Razak berkata, salah seorang pengadu mendakwa menemui mayat mangsa dalam keadaan tertiarap di tepi tebing sungai.

"Sepasukan anggota polis yang bergegas ke lokasi untuk menyiasat kemudiannya mendapati mangsa adalah seorang lelaki dan masih lengkap berpakaian di mana keadaan bahagian rusuk kanannya berlubang manakala tangan kanannya tinggal tulang disyaki telah dimakan haiwan.

"Pemeriksaan di poket seluar mangsa turut menemui sekeping lesen milik mangsa dan hasil siasatan awal, tiada sebarang unsur jenayah dalam kejadian ini.

"Polis juga percaya lelaki berkenaan sudah meninggal dunia antara tiga atau empat hari yang lalu, "katanya ketika ditemui media.

Mayat lelaki itu kemudiannya dibawa ke Hospital Beaufort untuk tindakan lanjut dan polis masih menjalankan siasatan bagi mengenalpasti punca sebenar kematian mangsa.

Kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut.