Hasrat untuk berseronok makan angin di luar negara bersama suami sama sekali punah apabila akhirnya menyedari diri dan keluarga terperangkap dalam muslihat rangkaian pengganas antarabangsa.

Itulah yang dialami Aishah (bukan nama sebenar), 31, selepas menuruti kemahuan suami ke Istanbul, Turki, yang sebenarnya mempunyai niat lain iaitu mahu menyertai kumpulan pengganas Daish.

“Pada waktu itu saya sedang mengandung (anak kedua). Nak masuk tujuh bulan.

"Dia (suami) ada cakap tunggu sehingga saya lahirkan anak dahulu, tetapi pada bulan Disember 2015, suami dah beli tiket kapal terbang pergi dan balik ke Istanbul pada bulan Mac 2016. Dia beli awal, jadi saya ikut saja.

“Tiba di Istanbul, kami tinggal di hotel selama lima hari sebelum suami bawa saya dan anak-anak ke sebuah rumah sewa di sana.

"Masa dekat situ, baru saya sedar suami ada niat nak masuk Syria,” kata wanita yang berpurdah dan berniqab serba hitam dan menutup wajah itu, dalam sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini hari ini.

Aishah tidak menyangka, keputusan menuruti kemahuan suami akhirnya menjerat diri dan anak-anaknya. - Bernama

Masuk hutan

Dalam diselubungi rasa keliru untuk mengatur kehidupan di bumi asing, setahun juga berlalu mereka jalani hidup di Istanbul.

Aishah mengimbas, belumpun dapat menyesuaikan diri sepenuhnya di situ, mereka kemudiannya memulakan langkah untuk pergi ke satu lagi tempat asing -- memasuki Syria.

Untuk tiba ke tempat yang dirancang, mereka telah merentas hutan dan laluan kawasan bergunung-ganang sebelum melepasi sempadan Syria di Idlib. Di situ, empat sekeluarga berkenaan tinggal selama setahun enam bulan.

“Kami macam sekumpulan wanita dan anak-anak macam penyeludup sebab nak masuk cepat sana (Syria). Tapi macam kena tipu sebab mereka tinggalkan kami di dalam hutan. Ada dua orang penunjuk arah tetapi apabila sampai di puncak (bukit) mereka tinggalkan kami disitu.

“Kami terpaksa turun sendiri dan sampai ke sempadan Turki-Syria. Tentera Turki benarkan kami masuk ke Syria tanpa sebarang masalah. Masa tu saya bawa bayi saya sendiri,” jelasnya.

Sepanjang tempoh itu, Aishah turut menyatakan dia pernah melihat suaminya memasang dan meleraikan senjata di hadapannya. Begitupun, dia tidak pernah diajak untuk berjuang bersama.

Obses 'syahid'

Aishah berkata, suaminya begitu terpengaruh dengan ideologi Daish dan mahu mengejar 'syahid' dalam perjuangan bersama militan Daish.

Ceritanya lagi, untuk menguruskan hidup sekeluarga, dia menggunakan wang simpanan yang dibawa suaminya selain bergantung kepada bantuan badan kebajikan milik militan Daish untuk membeli keperluan harian.

Tambahnya, suaminya pernah berpesan agar jangan pulang ke Malaysia sekiranya sebarang perkara buruk terjadi kepada dirinya.

Pada suatu hari yang sama sekali tidak dijangka dan diingini, 'perkara buruk' yang dikatakan itu terjadi juga. Suami Aishah hilang nyawa dalam salah satu pertempuran bersenjata.

Mohon bantuan

“Setelah kematian suami pada 9 Februari lalu, saya berasa hilang tempat bergantung dan bimbang akan keselamatan anak-anak.

“Saya ketakutan di Idlib lalu akhirnya menghubungi keluarga untuk meminta tolong dibawa keluar dari Syria,” katanya dalam nada sebak.

Beliau melahirkan rasa kesyukuran apabila Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kedutaaan Malaysia dan National Intelligent Organization (MIT) dari Turki berjaya membawanya pulang pada 6 Oktober lalu.

Mengikut rekod, Aishah berkahwin pada Mac 2012 dengan suaminya, iaitu seorang bekas juruteknik sebuah syarikat cari gali.

Tiga beranak itu kini berada di bawah perlindungan PDRM untuk menjalani proses pemulihan dan kaunseling sebelum dibenarkan pulang ke kampung halamannya di Terengganu.

Sejak 2013 hingga Oktober tahun ini, seramai 102 rakyat Malaysia pergi ke Syria menyertai pengganas Daish, 37 daripadanya telah terkorban manakala 11 telah kembali termasuk Aishah dan dua anaknya.

BACA: PDRM selamatkan keluarga Malaysia bekas anggota Daish