Penemuan guni busuk terapung di Sungak Pak Jalan di Kanowit di sini hari ini menggemparkan penduduk setempat yang menyangka kandungan guni itu mayat manusia.

Bagaimanapun, isi dalam bungkusan besar itu terjawab selepas saksi yang menemuinya menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat di sini.

Ketika kejadian, seorang guru Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Yuk Chai curiga melihat bungkusan berkenaan sebelum memaklumkan Pusat Gerakan Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, pada jam 12.09 tengah hari.

Sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Kanowit digerakkan ke lokasi berhampiran Jalan Lukut-Penyalau termasuk Ibu Pejabat Polis Daerah Kanowit.

“Setiba di lokasi, pasukan bomba menarik bungkusan guni yang terapung di tebingan sungai dan mendapati kandungan guni itu ialah bangkai seekor khinzir,” katanya.

Penemuan bangkai itu melegakan penghuni sekolah yang pada awalnya mengesyaki mayat manusia di dalam guni tersebut ekoran bau busuk.