Pengguna Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH) akan menikmati diskaun tol sebanyak 20 peratus iaitu pengurangan kepada RM2 berbanding kadar asal RM2.50, sepanjang bulan April.

Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (PROLINTAS), pemegang konsesi lebuh raya berkenaan, dalam satu kenyataan berkata diskaun tol itu ditawarkan kepada pengguna kenderaan Kelas 1 bermula 5 pagi hingga 8 pagi, setiap Isnin dan Jumaat.

"Tawaran ini diharap dapat membantu mengurangkan kos perjalanan pengguna Lebuhraya AKLEH dan sekali gus menarik lebih ramai pemandu menggunakan lebuh raya tersebut terutama penduduk dari kawasan Ulu Klang, Bukit Antarabangsa, Taman Melawati, Keramat, Wangsa Maju, Ampang dan sekitarnya.

"Pemberian diskaun ini juga bagi menggalakkan pengguna Lebuhraya AKLEH merancang perjalanan bagi mengurangkan keadaan trafik yang sesak di waktu puncak sebelah pagi," menurut kenyataan tersebut.

Pengguna Lebuhraya AKLEH boleh mendapat maklumat lanjut di Twitter @AKLEHtrafik, laman sesawang rasmi www.prolintas.com.my, Facebook PROLINTAS Highways atau menghubungi talian bebas tol 1-300-88-1012.

-- BERNAMA