Kakak S Nirmala, yang kini ditahan di Korea Utara masih berasa risau menantikan panggilan adik kesayangannya sehingga hari ini.

S Komala Theinmoni, 48, kini masih lagi runsing dan berharap agar beliau dapat berhubung dengan adiknya secepat mungkin berikutan ketegangan yang melanda buat masa ini.

"Memang saya harapkan Nirmala hubungi saya. Bila dia sendiri telefon dan kata semuanya selamat, baru hati saya betul-betul lega," katanya.

Menurutnya, anak sulungnya ada bertanya khabar kepada adiknya itu pada malam Rabu lepas di laman sosial pada waktu malam namun sayangnya Nirmala tidak membalas mesej tersebut.

Gambar Nirmala seperti yang ditunjukkan oleh Komala. - Foto Astro AWANI

Sehingga semalam, masih tiada khabar berita adiknya yang kali terakhir menghubungi kakak sulung mereka di Bercham, Ipoh, pada pagi Rabu lepas.

Komala bagaimanapun menjelaskan bahawa, dia akhirnya berasa sedikit lega apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak menghubungi Korea Utara bagi membincangkan perkara tersebut.

"Bila dapat tahu Perdana Menteri sendiri hubungi kerajaan di sana, memang saya rasa sedikit lega. Lagipun, kawan dan pelanggan di Pasar Besar Kuala Kangsar banyak memberi semangat kepada kami.

"Bila mereka datang ke gerai, mereka pujuk kami, usap bahu kami dan minta supaya jangan terlalu risau kerana semuanya pasti baik.

"Sekarang rasa semakin lega berbanding semalam. Apa pun, saya harapkan Nirmala hubungi saya. Bila dia telefon, saya memang akan rasa sangat lega," katanya ketika ditemui Astro AWANI di kediamannya di sini pada malam Khamis.

Meskipun kelihatan tenang namun jauh di sudut hatinya, Komala sangat merindui adiknya dan berharap dia pulang segera ke pangkuan keluarga.

Menurut Komala,kerinduan terhadap adiknya masih terasa apatah lagi dia ada melihat gambar terbaru adiknya yang kini sudah berambut panjang.

"Adik saya ada datang ke rumah petang tadi ( Khamis). Dalam kami berbual, ada ternampak gambar terbaru Nirmala bersama rakan sekerjanya dalam laman web kementerian.

"Mungkin mereka ada program makan-makan. Rambut dia sudah panjang. Gambar yang dipaparkan dalam akhbar gambar pada 2015, rambut dia pun pendek lagi.

"Rindu betul pada Nirmala bila nampak gambar terbaru dia. Cantik betul adik saya bila dia berambut panjang seperti itu," katanya lagi.