Tidak serik biarpun pernah ditahan kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa pertama, seorang lelaki ditahan untuk kali kedua malam tadi di lokasi sama di Jalan Datuk Kumbar, di sino.

Lelaki berusia 51 tahun itu ditahan bersama adik lelakinya yang berusia 45 tahun, ketika menaiki sebuah kereta, jam 10 malam, tanpa sebarang dokumen atau alasan munasabah.

Menurut Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin, ketika ditahan, lelaki itu memberi alasan terpaksa keluar untuk membantu adiknya menyelamatkan ikan kelisa peliharaan yang hampir mati.

"Lelaki ini merupakan antara lapan individu yang ditahan dalam pemeriksaan mengejut yang dilakukan di Jalan Datuk Kumbar," kata Mohd Rozi.

Beliau berkata, kesemua yang ditahan berusia antara 17 dan 51 tahun, dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar untuk tindakan lanjut.

Penahanan dibuat mengikut Seksyen 270 Kanun Keseksaan Peraturan 3(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020 (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.