Seorang wanita ditendang dan ditampar abangnya hanya kerana bertindak melindungi ibu mereka daripada terus dikasari lelaki itu dalam kejadian di Kampung Duyong Besar, di sini, kelmarin.

Menurut sumber, mangsa berusia 21 tahun sedang berehat di rumah sebelum terdengar pertengkaran antara abangnya dan ibu berusia lingkungan 50-an dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu,

"Pertengkaran berlaku selepas ibu mereka tidak memenuhi permintaan lelaki berusia 29 tahun itu yang mahukan sejumlah wang dipercayai digunakan untuk membeli dadah dan kemudian lelaki itu bertindak mengasari ibunya.

"Pada mulanya, mangsa enggan masuk campur tapi disebabkan tidak sampai hati melihat perbuatan melampau terhadap ibu mereka, dia terpaksa mengubah fikiran dan menegur abangnya," katanya.

Menurutnya, bagaimanapun teguran itu tidak diendahkan lelaki berkenaan menyebabkan mangsa terpaksa bertindak lebih keras semata-mata hendak mempertahankan ibu mereka.

"Lelaki berkenaan naik angin selepas mangsa tidak mahu mengalah lalu bertindak menampar dan menendang adiknya itu hingga mengakibatkan kecederaan pada dahi kesakitan di mukanya.

"Berikutan bimbang keselamatan diri dan keluarga, mangsa buat laporan di Balai Polis Chabang Tiga sebelum tangkapan dilakukan terhadap lelaki yang tidak bekerja itu di rumah mereka kira-kira jam 3 petang semalam," katanya.

Sementara itu, Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Sesyen/Majistret Kuala Terengganu Noradila Ab Latiff memerintahkan suspek ditahan reman selama empat hari mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera dan Seksyen 18 Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.