Polis telah mengenal pasti mereka yang terlibat memukul pekerja restoran seperti yang tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Othman Nanyan berkata pihaknya akan membuat tangkapan dalam masa terdekat.

"Pihak Polis Kajang telah menerima satu laporan polis daripada pekerja sebuah restoran di Bandar Sungai Long, dipukul oleh majikan menggunakan tangan,

"Mangsa yang ketika itu sedang berkerja telah ditampar di bahagian muka oleh dua lelaki di mana salah seorang merupakan anak saudara pada majikannya sambil mengeluarkan kata-kata ugutan,

"Punca kejadian disebabkan mangsa tidak mengikut arahan majikan semasa berkerja," katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Nanyan, mangsa juga mendakwa pernah dipukul oleh majikannya sebelum ini tetapi tidak membuat sebarang laporan polis.

Tiada sebarang kecederaan serius direkodkan dan mangsa dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Kajang.

Kes disiasat mengikut Seksyen 323 dan 506 Kanun Keseksaan kerana mencederakan orang dan melakukan ugutan jenayah.