Bermula 1 Januari 2019, semua pengamal perubatan diwajibkan memiliki insurans indemniti profesional.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam, berkata insurans itu bertujuan memberi perlindungan kepada doktor yang berdepan tindakan undang-undang seperti disaman akibat kecuaian ketika bekerja.

Buat masa ini, insurans itu tidak diwajibkan kepada doktor perubatan di Malaysia, sama ada dalam sektor kerajaan atau swasta, dan hanya dibuat secara sukarela.

Sekiranya doktor gagal memiliki insurans terbabit selepas 1 Januari 2019, mereka tidak akan diberikan Perakuan Amalan Tahunan (APC), sekali gus tidak layak meneruskan amalan perubatan.

Pengenalan insurans itu adalah sebahagian daripada pindaan yang dibuat di dalam Akta Perubatan (Pindaan) 2012 dan Peraturan Perubatan 2017.

Selain insurans, semua doktor juga diwajibkan untuk ikuti program Pembangunan Profesional Berterusan (CPD) bagi permohonan APC yang bertujuan memastikan mereka dilengkapi dengan kemahiran perubatan dan pengetahuan terkini sebelum merawat pesakit.