Pejabat Peguam Negara sudah menerima dokumen siasatan berhubung 1Malaysia Development Berhad (1MDB) termasuk maklumat yang diberikan Xavier Andre Justo kepada Pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata, dokumen itu diterima daripada pihak berkuasa Thailand pada Rabu dan kini sedang disemak oleh Pejabat Peguam Negara sebelum diserahkan semula kepada Polis Diraja Malaysia.

"Mereka menyerahkan semua dokumen yang kita minta dan ia termasuklah rakaman temu bual dengan Justo yang dirakam polis Thailand.

"Kita menunggu dokumen itu disemak sebelum diserahkan pada kita dalam masa terdekat," katanya pada sidang media di Bukit Aman di sini, pagi tadi.

Jelas Khalid, dokumen itu mengandungi pelbagai maklumat, termasuk transkrip temu bual polis dengan Justo di Bangkok, minggu lalu.

Polis sebelum ini dilaporkan merakam keterangan Justo selama 90 minit di penjara reman di Bangkok, Thailand pada 15 disember lalu seperti yang lapor Bernama.

Keterangan dirakam dalam bentuk afidavit dan akan digunakan dalam siasatan di Malaysia, terutamanya dalam tuduhan berkaitan sebahagian dokumen itu, terutamanya berkenaan urusniaga di antara Petrosaudi International dan 1MDB, yang diubahsuai, lapor bernama memetik sumber.

PDRM juga dilaporkan berminat menemui Justo yang dikatakan berurusan dengan beberapa individu termasukl Rewcastle-Brown dan pemilik The Edge Media Group, Datuk Tong Kooi Ong.

Justo kini dipenjara 3 tahun di Thailand selepas mengaku mencuri data dan memeras ugut bekas majikannya.