Akibat mahukan wang ringgit dengan segera, dua lelaki sanggup menyalah guna kuasa dan memalsukan surat permohonan pinjaman di sini.

Mahkamah Majistret Tawau hari ini membenarkan dua lelaki tersebut – seorang pengurus cawangan dan seorang penyelia pinjaman sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Yayasan Usaha Maju Sabah (YUM) – ditahan reman selama enam hari mulai hari ini.

Reman dikeluarkan oleh Majistret Ferhnsha Farene Mohd Ferdaus.

Suspek yang masing-masing berusia 38 dan 33 tahun itu tiba di mahkamah pada pukul 9.45 pagi diiringi oleh pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Cawangan Tawau.

Mereka ditahan di Pejabat SPRM Tawau kira-kira pada jam 5.45 petang semalam, ketika hadir memberikan keterangan.

Seorang lagi suspek ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes memalsukan dan mengemukakan 36 Borang Permohonan Pinjaman yang mengandungi butiran palsu pemohon.

Hasil siasatan, kedua-dua suspek telah mengeluarkan dan menunaikan cek-cek tersebut di Maybank Cawangan Semporna yang membabitkan jumlah pinjaman sebanyak RM153,769.

Di samping itu, suspek pertama juga didapati memalsukan lima Sijil Kematian Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) ke atas lima pemohon bagi tujuan menghapus kira hutang pinjaman pemohon selain menunaikan cek khairat kematian yang dikeluarkan oleh YUM kepada waris pemohon.

Kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 yang mana boleh dikenakan hukuman denda lima kali nilai rasuah atau RM10,000, mana-mana yang tinggi serta penjara tidak melebihi 20 tahun.