Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) melantik Dr Azman Hussin sebagai Ketua Pegawai Eksekutif baharunya bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa hari ini.

Dr Azman adalah Ketua Pegawai Eksekutif yang keenam sejak penubuhan SSM pada 2002.

Beliau menggantikan Datuk Zahrah Abd Wahab Fenner yang bersara wajib pada 28 September ini.

Dr Azman mempunyai pengalaman dan kepakaran luas dalam bidang keusahawanan, korporat, teknologi dan strategi perniagaan serta memiliki Sarjana Muda dan Sarjana dalam bidang Fizik dari Universiti Ohio, Amerika Syarikat dan kedoktoran dalam bidang pengurusan dari Universiti Utara Malaysia.

Beliau antara lain pernah menjadi ahli Lembaga Pengarah Majlis Amanah Rakyat (MARA), Silicon Vision Corporation, TSI-Telsys Corporation yang disenaraikan di Bursa Saham Montreal, Kanada, selain pernah bekerja dalam bidang strategi korporat di Qatar Steel Company dan Ooredoo (dahulunya Qatar Telecom).

Di samping itu, beliau mengajar dan melatih dalam bidang strategi di Arab Saudi, Qatar, Kuwait, Jordan dan Malaysia.

Beliau juga pernah menulis beberapa buah buku yang telah dipasarkan ke peringkat antarabangsa termasuk penerbitan bertajuk 'Higher Objectives of Humanity' dan 'Prophet Muhammad the Hallmark of Leadership'. - BERNAMA