Nisbah kadar hutang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang berada pada tahap 53 peratus masih dianggap 'baik' untuk negara disokong oleh pendapatan dan dagangan yang terus meningkat, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Kita masih boleh membayar (hutang). Kita masih boleh membayar kerana kita nampak pelaburan (memberikan) keuntungan (yang) tinggi," kata bekas Perdana Menteri dalam satu temu ramah dengan Bernama.

Dr Mahathir berkata ketika zaman pentadbirannya, keuntungan Maybank sebanyak RM300 juta sudah dianggap besar.

"Sekarang Maybank untung RM6 billion," kata beliau.

Dr Mahathir berkata terdapat negara di Eropah seperti Greece yang tidak mungkin dapat membayar hutangnya kerana nisbah hutang negara itu kepada KDNKnya melebihi 100 peratus.

"Ia (Greece) tidak mungkin (mampu) bayar," kata beliau.

Dr Mahathir berkata Bank Negara Malaysia (BNM) kini mempunyai simpanan kira-kira US$140 bilion (US$1=RM3.08) berbanding di semasa pentadbirannya hanya berada sekitar US$30 bilion.

Setakat 31 Jan, 2013, rizab antarabangsa BNM berjumlah US$140.2 bilion.

Paras rizab ini memadai untuk membiayai 9.5 bulan import tertangguh dan 4.2 kali hutang luar negeri jangka pendek.

Keseluruhan aset BNM, termasuk rizab antarabangsa, berjumlah US$158 bilion.

Bekas Menteri Kewangan itu berkata Malaysia juga mempunyai simpanan yang besar di institusi seperti Tabung Haji, Permodalan Nasional Bhd dan juga melalui Skim Felda.

"Kita ada simpanan yang cukup besar ...cukup tinggi," kata beliau.

Semasa ditanya adakah dagangan Malaysia masih bergantung kepada Barat walaupun ekonominya yang lemah, Dr Mahathir berkata: "Kita tidak lagi bergantung kepada Barat. Barat sudah merosot. Eksport kita ke Barat pun tidak boleh meningkat dan Barat juga tidak mampu untuk melabur sekarang ini."

Dr Mahathir berkata kini pelaburan dilihat datang dari Timur dan dagangan negara juga semakin meningkat.

"Dagangan kita dengan negara China umpamanya sudah baik (dan ia) cukup tinggi. Dagangan kita dengan Asean juga meningkat. Jadi kita tidak perlu nilai kemajuan ekonomi negara kita berasas kepada Barat," kata beliau.

Sebaliknya, kata beliau, penilaian harus mengambil kira kemajuan ekonomi di seluruh dunia.

"Dari segi keseluruhan dunia kita dapati bahawa eksport kita masih meningkat, surplus (lebihan dagangan) kita masih meningkat," kata Dr Mahathir.

Perdagangan Malaysia mencatatkan pertumbuhan tiga peratus pada 2012 meskipun krisis kewangan dan kelembapan ekonomi global serta permintaan dunia yang lembap.

Walaupun pertumbuhan di bawah unjuran, negara mencatatkan jumlah dagangan tertinggi pada RM1.31 trilion tahun lepas berbanding dengan RM1.27 trilion yang dicatatkan pada 2011.

Bagi tahun 2012, eksport berkembang sebanyak 0.6 peratus kepada RM702.19 bilion manakala import meningkat 5.9 peratus kepada RM607.36 bilion.

Lebihan dagangan sebanyak RM94.82 bilion pada 2012, tahun ke-15 berturut-turut lebihan dagangan bagi Malaysia.

Antara lima rakan dagang utama, pengembangan dagangan dicatatkan dengan Asean (+8.2 peratus) dan China (+8.0 peratus) manakala dagangan dengan Amerika Syarikat (-2.8 peratus).