Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad diberi sambutan rasmi oleh Kerajaan Korea Selatanhari ini, sempena lawatan dua hari ke Seoul.

Perdana Menteri dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, serta delegasi, sebelum itu tiba di Pangkalan Udara Seoul kira-kira jam 1.20 pagi Rabu.

Hadir menyambut ketibaan beliau dan isteri termasuk Menteri Kesihatan dan Kebajikan Korea Selatan, Park Neung-hoo dan Duta Korea Selatan ke Malaysia, Lee Chi-beom serta isteri.

Beliau kemudian ke penginapan rasminya di Hotel Lotte.

Dr Mahathir dijadual menyertai Mesyuarat Meja Bulat dengan Ketua Industri Korea Selatan di lokasi sama hari ini.

Selain itu, beliau akan bermesyuarat dengan Kelab Bunga Raya Korea Selatan dan menghadiri Majlis Makan Malam Diaspora Malaysia.

Lawatan rasmi itu menyusul selepas berakhirnya Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Korea Selatan (ASEAN-ROK) 2019 di Busan.

Ini merupakan lawatan rasmi Perdana Menteri yang pertama ke Korea Selatan sejak menjawat jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-7 pada bulan Mei 2018.