Tutup

Dr Mahathir mulakan lawatan kerja dua hari di Fukuoka

Dr Mahathir mulakan lawatan kerja dua hari di Fukuoka
Dr Mahathir tiba di Fukuoka hari ini bagi mengadakan lawatan kerja selama dua hari. --fotoBERNAMA
FUKUOKA: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tiba di Fukuoka, Jepun, bagi memulakan lawatan kerja dua hari ke negara itu.

Pesawat khas yang membawa beliau dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Fukuoka pada jam 7 pagi waktu tempatan.

Ketibaan Perdana Menteri dan isteri disambut Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah dan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Turut hadir, pegawai serta kakitangan Kedutaan Malaysia di Jepun.
Beliau dan isteri kemudian tiba di Hotel Nikko Fukuoka pada jam 7.45 pagi waktu tempatan.


BACA: Kunjungan Tun M ke Fukuoka atas permintaan Jepun
VIDEO: Ketibaan Tun Dr Mahathir di Fukuoka ditunda ke Rabu susulan amaran taufan

Lawatan kerja rasmi Perdana Menteri sebelum ini disingkatkan daripada tiga hari kepada dua hari ekoran amaran ribut taufan yang melanda negara itu.

Pada tengah hari, Dr Mahathir dijadual menyampaikan ucapan bertajuk 'Bagaimana Sains dan Teknologi akan menyumbang kepada Keamanan Dunia' di hadapan lebih 2,000 pelajar di Sekolah Pemimpin Masa Depan Jepun.