Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tiba di sini pada Selasa dalam rangka lawatan kerja sempena Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNGA) ke-73.

Pesawat khas yang membawa Dr Mahathir dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali mendarat di Lapangan Terbang White Plains Westchester County pada 1.12 tengah hari waktu tempatan.

Menyambut ketibaan mereka adalah Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Datuk Seri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob dan Konsul Besar Malaysia di New York, Jeremiah Oliver Jitos.

Dr Mahathir dijadual menyertai beberapa mesyuarat Peringkat Tinggi PBB sebelum berucap di perhimpunan agung di ibu pejabat PBB di sini, pada 28 September.

Kali terakhir beliau berucap di pentas badan dunia itu adalah pada 15 tahun lalu.

Beliau turut dijadual mengadakan perbincangan dengan beberapa pemimpin dunia termasuk dari United Kingdom, Iran dan Sri Lanka.

Beliau juga bakal ditemubual media antarabangsa seperti Washington Post, The Wall Street Journal, TRT World selain menghadiri sesi perbincangan dengan pelabur dan pengurus dana, serta Majlis Perhubungan Luar.

Dr Mahathir akan turut menghadiri Forum Perniagaan Tahunan Kedua Bloomberg Global, berucap pada sesi Asia Society dan menghadiri jamuan makan malam bersama Majlis Perniagaan AS-Asean dan Dewan Perdagangan AS serta warga diaspora Malaysia di New York.

Semasa perhimpunan agung, Dr Mahathir akan disertai Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah, Menteri Pertahanan Mohamad Sabu, Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad dan pegawai-pegawai kanan kerajaan.

Dr Mahathir dan Dr Siti Hasmah dijadual berlepas ke London pada 29 September untuk meneruskan lawatan bahagian kedua ke United Kingdom.