Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad tiba di sini untuk lawatan kerja bagi menghadiri Perbarisan Hari Kebangsaan Singapura sempena sambutan ulang tahun ke-200 republik itu hari ini.

Pesawat khas yang membawa Dr Mahathir dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali mendarat di Kompleks VIP Lapangan Terbang Changi di sini pada 5.05 petang.

Beliau disambut di kompleks itu oleh Menteri Luar Singapura Dr Vivian Balakrishnan.

Dr Mahathir diiringi Menteri Luar Malaysia Datuk Saifuddin Abdullah serta para pegawai kanan dari Pejabat Perdana Menteri dan Wisma Putra.

Lawatan Dr Mahathir itu adalah atas jemputan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong.

Dr Mahathir telah bersetuju untuk menghadiri Perbarisan Hari Kebangsaan sempena sambutan ulang tahun ke-200 Singapura itu yang bermula pada 6.15 petang di Padang, di sini.

Upacara itu akan turut dihadiri Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah dan Presiden Indonesia Joko Widodo yang sebelum itu mengadakan lawatan rasmi dua hari ke Malaysia.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Khamis, Wisma Putra berkata lawatan Dr Mahathir itu melambangkan hubungan dua hala yang erat antara negara-negara berkenaan.

Malaysia dan Singapura telah menikmati 54 tahun hubungan diplomatik dan mengekalkan hubungan erat sebagai rakan paling dekat, selain sebagai rakan dalam ASEAN, katanya.

Perbarisan Hari Kebangsaan 2019 sempena ulang tahun ke-200 Singapura itu adalah satu peristiwa bersejarah untuk memperingati ulang tahun ke-200 kedatangan Stamford Raffles ke Singapura.

Dr Mahathir dan isteri dijangka berlepas pulang pada 8.30 malam.

-- BERNAMA