Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengucapkan Selamat Hari Deepavali kepada semua penganut agama Hindu di Malaysia yang akan meraikan perayaan itu esok.

"Sepertimana apabila perayaan yang diraikan oleh rakyat Malaysia yang lain, ianya dikongsi bersama dalam erti kata kita turut berkongsi kegembiraan yang dirasakan oleh rakan kita yang lain agama ataupun bangsa," katanya dalam perutusan Deepavali yang dimuat naik menerusi video di Twitter dan Facebook beliau, malam ini.

Katanya, Hari Deepavali ini juga tidak berbeza walaupun ia perayaan bagi penganut agama Hindu, rakyat Malaysia yang lain turut merasakan kegembiraan tersebut kerana ia mencermin ketenangan dan rasa selesa yang dapat dikongsi bersama.

"Perasaan sebegini memberi makna kepada ungkapan hormat-menghormati dan perpaduan di dalam perbezaan atau 'unity in diversity'.

"Atas semangat ini, saya mengucapkan Selamat Hari Deepavali dan berharap sambutan kali ini memberi harapan kepada hari depan yang lebih bermakna," katanya.

Dr Mahathir berkata Hari Deepavali yang merupakan 'pesta cahaya' dan turut diperertikan sebagai perayaan di mana kebaikan mengalahkan kejahatan diharap memberi makna yang besar kepada penganut agama Hindu di Malaysia pada tahun ini.