Mufti Perlis, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin atau lebih dikenali sebagai Dr Maza menggesa masyarakat Islam agar tidak menggunakan khidmat bomoh untuk memanggil hujan pada musim kemarau sekarang.

Beliau berkata mempercayai kuasa lain selain Allah untuk menurunkan hujan adalah perbuatan syirik.

"Umat Islam wajib yakin kepada kekuasaan Allah. Jangan taksub hanya kerana pernah menyaksikan kemampuan bomoh menurunkan hujan," katanya bagi mengulas cadangan pihak tertentu supaya digunakan khidmat bomoh untuk memanggil hujan dalam keadaan kemarau sekarang.

Mohd Asri berkata yang afdal adalah memohon terus kepada Allah dan berdoa yang sekiranya dilakukannya dengan ikhlas, nescaya Allah akan memakbulkan permintaaan hamba-Nya.

"Sembahyang Istisqa dan doa beramai-ramai yang diadakan selepas solat Jumaat sejak dua minggu lepas menampakan hasil apaibla hujan beberapa kali turun walaupun belum dapat menyelesaikan masalah kemarau," ujarnya.

Beliau berkata solat tersebut yang dijadual diadakan di perkarangan Istana Arau dua minggu lepas dan dibatalkan apabila hujan mulai turun, mungkin akan dipertimbang untuk diadakan semula.