Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah hari ini menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi menyembah maklum situasi semasa pandemik COVID-19.

Katanya, beliau dan warga Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berterima kasih atas keprihatinan Sultan Sharafuddin Idris Shah yang sentiasa mengikuti perkembangan pandemik COVID-19 yang sedang melanda khususnya negeri Selangor dan negara serta dunia secara amnya.

"Sayu kelihatan Baginda Sultan ketika menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua petugas di barisan hadapan yang bersiap siaga mengawal keselamatan dan kesihatan negara.

"Titah-titah semangat daripada DYMM Tuanku Sultan sememangnya menyuntik semangat dan kekuatan khususnya kepada seluruh anggota petugas kesihatan dalam usaha menangani wabak COVID-19 yang sedang melanda negara. InsyaAllah, dengan sokongan, semangat dan iringan doa dari DYMM Tuanku Sultan jua, segala cabaran dan dugaan yang sedang dihadapi akan dipermudahkan," katanya dalam status yang dimuat naik di laman sosial Twitter pada Selasa.

Justeru katanya, seluruh warga KKM akan terus mendoakan Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Norashikin terus dikurniakan kekuatan dan kesihatan yang berpanjangan dan seterusnya kekal bertakhta dan berdaulat atas singgahsana Kerajaan Negeri Selangor.

Sumber Facebook DGHisham