Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini mengesahkan beliau akan mengekalkan jawatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM) susulan keputusan pemilihan PKR yang berlangsung pada Ahad.

Beliau turut mengesahkan tidak akan melepaskan jawatannya sebagai Ahli Parlimen Pandan kepada Presiden PKR yang baharu, suaminya Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang menang tanpa bertanding.

"Memang tidak (letak jawatan). InsyaAllah (kekal semua jawatan)," katanya kepada media di lobi Parlimen, mengulas sama ada akan meletakkan semua jawatannya atau tidak, bagi memberi laluan kepada Anwar.

Semalam, Anwar memenangi jawatan Presiden PKR sekali gus mengambil alih jawatan tersebut dari Dr Wan Azizah yang tidak mempertahankannya.

Tiada pertandingan bagi jawatan itu apabila sehingga penerimaan borang pencalonan ditutup jam 5 petang, hanya Anwar yang mengemukakan borang pencalonan.

Perkembangan ini selari dengan kenyataan Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail sebelum ini yang menyatakan Dr Wan Azizah akan kekal sebagai TPM jika suaminya menang jawatan presiden parti.

Sebelum ini, Menteri Kewangan Lim Guan Eng dilaporkan berkata Dr Wan Azizah akan melepaskan jawatan sejurus selepas Anwar diangkat menjadi Perdana Menteri (PM).

Dr Wan Azizah sendiri berkata beliau sedia mengundur diri daripada jawatan nombor dua kerajaan itu jika Anwar menjadi PM.