Dr Xavier Jayakumar berkata antara kejayaannya selepas setahun menjadi Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli adalah pengendalian isu air dan pengurusan bekalan sumber itu sendiri.

Jelasnya, ia sekali gus menjadi 'lampu hijau' buat kebanyakan negeri dalam isu kenaikan tarif air dan memastikan pengurusan syarikat air di tahap terbaik.

"Saya fikir kita mesti faham bahawa kita tidak pernah memberi perhatian kepada industri air selama ini dan ini adalah sumber yang mesti kita jaga.

"Kita juga perlu belajar bagaimana untuk menggunakan air dengan cara yang paling cermat," katanya semasa sidang media khas setahun mengemudi kementerian di pejabatnya, di sini.

Dalam pada itu kementeriannya juga katanya akan menetapkan agar Enakmen Mineral yang sama dilaksanakan di setiap negeri.

Ia dilengkapi dengan pelan komprehensif tentang apa yang perlu dilakukan terhadap sumber-sumber mineral berkenaan di negara ini.

Katanya lagi, isu pembaharuan pengurusan tanah juga akan memastikan sumber-sumber mineral yang berharga hanya akan digunakan untuk membawa manfaat bagi negara dan rakyat.

"Kita tidak boleh jangka apa-apa selain nilai berpatutan terhadap tanah berkenaan sebagai faktor yang memberi kesan positif pada masa hadapan," jelasnya.

Jelasnya lagi, antara kempen yang menjadi keutamaannya selepas menjadi menteri adalah menyelamatkan harimau Malaya.

Usaha meningkatkan bilangan harimau Malaya yang kini diancam kepupusan dengan bilangan yang kurang dari 200 ekor.

Antara langkah diambil untuk menjaga populasi harimau Malaya adalah meningkatkan rondaan kawalan perlindungan operasi bersepadu bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Perhutanan Semenanjung yang dipersetujui Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Sekitar tahun 1950-an, Semenanjung Malaysia memiliki lebih 3,000 ekor harimau Malaya yang mendiami kawasan hutan belantara yang pada ketika itu kurang ancaman kerosakan.

Harimau Malaya mempunyai keistimewaan tersendiri kerana hanya boleh ditemukan di negara ini.

Memiliki berat badan antara 90 hingga 130 kilogram, fizikal harimau Malaya adalah antara paling kecil dalam kalangan sembilan sub spesies harimau yang pernah atau masih hidup di muka bumi ini.