DRB-HICOM Berhad (DRB-HICOM) menafikan kumpulan berkenaan mengambil alih 11 peratus saham dalam syarikat Media Prima Berhad (MPB) daripada UMNO.

Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan pada Rabu, syarikat berkenaan turut menafikan bakal mengambil alih tambahan lapan peratus saham yang dimiliki parti pembangkang itu.

"DRB-HICOM Berhad (DRB-HICOM) merujuk kepada satu laporan media yang mendakwa ia telah membeli 11 peratus ekuiti didalam syarikat media,Media Prima Berhad (MPB), dan akan membeli tambahan lapan peratus saham MPB yang dimiliki oleh Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu atau UMNO."

"Kami ingin menafikan kenyataan-kenyataan di dalam laporan tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, sebuah portal berita berbahasa Inggeris melaporkan syarikat yang dimiliki oleh Tan Sri Syed Mokhtar Shah Syed Nor Albukhary itu telah mengambil alih saham milik UMNO sebanyak 11 peratus dalam MPB.

Ia melaporkan bahawa 123.03 juta saham bernilai RM73.81 juta milik UMNO yang dipegang oleh Gabungan Kasturi Sdn Bhd sudah bertukar tangan.

Ia dijual melalui perjanjian luar pasaran pada harga 60 sen sesaham pada Selasa.

Harga saham MPB susut 20 sen pada Rabu kepada RM0.48 sen sesaham berbanding pembukaan RM.50

Ekoran daripada laporan tersebut harga saham MPB susut setengah sen kepada 48 sen pada tengah hari berikutan laporan berita tersebut.

Dagangan pada Rabu juga menyaksikan 1.45 juta saham bertukar tangan.