Tutup

Dua akta perlu dipinda jika laksana potongan gaji bulanan pekerja asing

Dua akta perlu dipinda jika laksana potongan gaji bulanan pekerja asing
Azlaily berkata, skim pemotongan 20 peratus daripada gaji asas bulanan pekerja asing masih di peringkat cadangan, dan jika hendak dilaksanakan, perlu mendapat kelulusan Parlimen. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Dua akta perlu dipinda jika kerajaan bercadang melaksana skim pemotongan 20 peratus daripada gaji asas bulanan pekerja asing, kata Timbalan Ketua Eksekutif Korporat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Azlaily Abdul Rahman.

Katanya, akta berkenaan ialah Akta Kerja 1955 dan Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 yang akan dilaksanakan menerusi caruman majikan kepada Perkeso.

Beliau berkata, perkara tersebut masih di peringkat cadangan, dan jika hendak dilaksanakan, ia perlu mendapat kelulusan Parlimen.

"Kelulusan Parlimen perlu kerana Perkeso tidak mempunyai kuasa untuk menahan gaji individu. Jika ada akta, baru boleh kita laksanakan. Selain itu, perlu berbincang dan mendapatkan persetujuan bersama daripada negara yang membekalkan tenaga buruh berkenaan," katanya.
Pada Ahad, Menteri Sumber Manusia, M. Kula Segaran dilaporkan berkata sebuah jawatankuasa teknikal akan meneliti secara holistik cadangan pemotongan 20 peratus gaji pokok pekerja asing kepada Perkeso yang boleh dituntut bermula 1 Jan depan.

"Akan ada satu jawatankuasa teknikal (saya juga terlibat) bagi membincangkan perkara ini yang akan bermesyuarat dalam masa terdekat," kata Azlaily pada sidang media selepas majlis pelancaran Program TV 13 Episod bertajuk Bangkit#PERKESO Prihatin di Pusat Pelancongan Malaysia di sini, pada Isnin.
Ia merupakan program TV ketiga di bawah Return To Work (RTW), sebuah program pemulihan komprehensif dalam pengurusan hilang upaya pertubuhan itu.

Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, sejak RTW diwujudkan pada 2007, Perkeso telah membantu 21,858 Orang Berinsurans Perkeso (pencarum) yang mengalami bencana kerja atau penyakit pekerjaan, telah pulih dan kembali bekerja menerusi RTW.

Teks ucapan Dr Mohammed Azman semasa majlis pelancaran itu dibacakan oleh Azlaily.

Turut hadir, Ketua Pejabat Sistem Insurans Pekerjaan Perkeso Datuk Mohd Sahar Darusman dan Pengarah Urusan MacheAllStar United Sdn Bhd, Arifful Ab Rahman.

"Kejayaan golongan tersebut kembali bangkit daripada kisah lalu memberi inspirasi kepada golongan senasib. Ia turut menjadi bukti kepada majikan lain untuk mengekalkan dan memberi peluang pekerjaan kepada pencarum Perkeso," kata Mohammed Azman.

Program berbentuk majalah realiti itu akan bersiaran di saluran Astro Ria dan Astro Ria HD setiap Jumaat, 9 malam bermula 21 Dis ini. Ia memaparkan kisah benar Orang Berinsurans di bawah Program RTW Perkeso bangkit dan pulih. 

-- BERNAMA