Tutup

Dua anggota baharu Kabinet Sarawak angkat sumpah

Dua anggota baharu Kabinet Sarawak angkat sumpah
ADUN Senadin, Datuk Lee Kim Shim menerima watikah pelantikan daripada Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Taib Mahmud di Astana Negeri, Petra Jaya - Foto Jabatan Penerangan
KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Datuk Lee Kim Shim  dan ADUN Piasau, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, masing-masing mengangkat sumpah sebagai Menteri Pengangkutan dan Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan.

Istiadat mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Taib Mahmud berlangsung di Astana Negeri, Petra Jaya.

Mereka dilantik selepas rombakan Kabinet yang diumumkan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg minggu lepas.

Lee sebelum ini memegang jawatan sebagai Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan dan kini tempatnya diganti oleh Ting.
Sementara itu, Ting berterima kasih kepada Ketua Menteri dan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah selaku Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan yang memberikan kepercayaan kepada beliau untuk menjawat jawatan itu.

"Sudah tentu saya memberikan yang terbaik kepada Sarawak untuk melihat bagaimana kita dapat bersama-sama dengan menteri dan mantan Menteri Muda Datuk Lee, untuk membantu Sarawak terutamanya dalam seni dan budaya pelancongan," katanya.
Rombakan Kabinet dibuat susulan peletakan jawatan Datuk Seri Wong Soon Koh sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan E-Perdagangan dan juga Menteri Kewangan Kedua pada 15 Julai lalu.