Dua anggota bomba cedera dalam operasi memadamkan kebakaran melibatkan tiga unit rumah kedai tiga tingkat di Jalan Munsyi Abdullah, di sini, malam tadi.

Operasi memadamkan kebakaran yang tercetus sekitar jam 8.30 malam itu mengambil masa kira-kira lima jam sebelum api berjaya dikawal sepenuhnya.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba Dan Penyelamat Negeri Melaka, Ahmad Zaidi Safuan berkata, sebaik sahaja menerima panggilan pada 8.47 malam, sebuah jentera daripada Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kubu dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Ketika tiba di lokasi kejadian, bomba mendapati api sedang marak membabitkan beberapa unit kedai dan terpaksa mengawal kebakaran untuk mengelak ia merebak ke premis lain,” katanya.

Mengulas mengenai anggota bomba yang cedera, kedua-dua anggota bomba itu masing-masing berusia lingkungan 30-an dan salah seorang daripadanya cedera di bahagian belakang badan akibat terkena serpihan kaca.

“Mereka telah dibawa ke Hospital Melaka untuk terima rawatan, bagaimanapun tiada sebarang kecederaan serius dilaporkan,” katanya lagi.

Menurut Zaidi, difahamkan kebakaran berpunca daripada bahagian belakang sebuah kedai elektrik yang terdapat beberapa bahan mudah terbakar.

Secara keseluruhan, sebanyak lima jentera dan sebuah unit Van EMRS termasuk sebuah water tanker digunakan dalam operasi tersebut.

Punca kejadian dan angka kerugian masih dalam siasatan.