Dua suspek ‘Geng Tebuk’ dipercayai terlibat dalam kegiatan pecah pejabat dan pecah peti besi keselamatan sekitar Melaka maut dalam kejadian tembak-menembak di Taman Tasik Utama, Ayer Keroh, Melaka awal pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Mohd Nor Yhazid Idris berkata, pihaknya percaya kedua-dua suspek yang juga dipercayai warga asing merupakan anggota kumpulan disyaki terlibat dalam kegiatan berkenaan yang berlaku sejak tahun lepas.

Jelasnya, dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu pihaknya sedang menjalankan risikan Ops Tebuk di sekitar Ayer Keroh sebelum menemui sebuah kereta jenis Nissan Sentra yang mencurigakan di parkir di persimpangan tasik utama dengan nombor pendaftaran didapati palsu.

Bagaimanapun ketika pihak polis mendekati kenderaan itu, ia terus memecut laju dan berlaku kejar mengejar antara suspek dan polis sebelum kenderaan dipandu suspek terbabas ke bahu kiri jalan.

Ketika itu, empat orang suspek didapati berada di dalam kenderaan itu.

Menyedari kehadiran pihak polis, seorang daripada suspek kemudian bertindak melepaskan tembakan dan seorang lagi suspek melibas parang panjang menyebabkan berlaku tembak- menembak antara pihak polis dan suspek.

Akibat daripada itu, dua daripada mereka yang dipercayai berusia sekitar 30an maut di tempat kejadian manakala, dua lagi suspek berjaya melarikan diri ke arah belukar berhampiran.

“Salah seorang daripada mereka di tempat duduk penumpang hadapan telah melepaskan beberapa das tembakan ke arah pihak polis manakala di bhaagian penumpang belakang pula telah keluar seorang lelaki yang bersenjatakan sebilah parang panjang yang melibas-libas dan menyerang pihak polis.

“Manakala dua lagi suspek telah keluar di sebelah kanan dan telah melarikan diri ke bahagian belukar berhampiran . Setelah berbalas tembakan selesai didapati dua suspek telah mati di tempat kejadian, kedua-dua tidak ditemui sebarang dokumen diri dan dipercayai warganegara asing,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Dalam kejadian itu juga pihak polis merampas sepucuk senapang dan enam kelongsong peluru dan sebilah parang.

Turut dirampas satu kunci kereta, tiga pasang sarung tangan, sebuah mesin penebuk dinding, sebuah mesin grinder, satu plastik yang mengandungi penutup mulut serta sebuah beg galas mengandungi tiga bilah parang, satu pemotong besi, sebatang penukul besi dan sebatang besi yang diubah suai.

Tambah Mohd Nor Yhazid, dengan tumpasnya kumpulan itu, pihak polis percaya telah berjaya menyelesaikan empat kes berkaitan di Melaka yang berlaku sejak tahun lepas dengan anggaran kerugian RM172,000.

Kes disiasat mengikut seksyen 307 Kanun Keseksaan.