Dua anggota polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM4,000 daripada seorang peniaga di Kuala Lipis, dua tahun lepas.

Lans Koperal Shafiq Kharidan dan Koperal Muhamad Nurlizam Ali, 32, yang bertugas di cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Lipis, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Mohd Ghazali Mohamad Taib.

Mengikut kertas pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa menerima secara rasuah sebanyak RM3,000 dan RM1,000 daripada Yew Joo Sim, masing-masing pada 23 dan 24 Sept 2016, sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap dirinya dan seorang lagi rakannya atas kesalahan memiliki rokok seludup.

Mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang jika sabit kesalahan boleh dihukum menerusi Seksyen 24 Akta SPRM 2009.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohd Khairulhazman Ghazali dan Mohd Fadly Mohd Zaki, manakala tertuduh diwakili peguam daripada Biro Bantuan Guaman, Saifuldin Ab Rahman.

Hakim membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM5,000 seorang, bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 14 Sept depan sebagai tarikh sebutan semula kes. -- Bernama