Tiga penjenayah termasuk dua anggota polis berpangkat Koperal dan Konstabel ditahan di dua lokasi berasingan di daerah ini kerana dipercayai terlibat dalam satu kejadian samun serta tembak seorang peniaga kedai runcit di Kampung Jaya Gading, Sabtu lalu.

Malah kesemua suspek yang berusia 25 tahun itu juga sempat melakukan jenayah peras ugut tiga jam sebelum kejadian berkenaan.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Rosli Ab Rahman berkata, dua anggota polis itu bertugas di bahagian trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan manakala seorang lagi bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang.

Katanya, dua daripada suspek ditahan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kuantan di sebuah premis di Indera Mahkota pada jam 11 pagi.

"Hasil tangkapan kedua-dua suspek berjaya kepada penahanan seorang lagi suspek yang merupakan anggota polis di Taman Setali, Jalan Kem Galing kira-kira jam 12 tengah hari," katanya pada sidang media di IPK Pahang di sini pada Isnin.

Tambah Rosli, hasil penahanan itu, pihaknya merampas sebuah kereta Perodua Axia, sepucuk pistol jenis revolver 38 smith welson, empat butir peludu hidup, satu gari, sembilan karton rokok seludup pelbagai jenama

Katanya, turut dirampas, sebuah telefon bimbit jenama iPhone 6, sebutir kelongsong peluru jenis 38, sehelai jaket hitam dan sehelai seluar jean.

Selain itu, saringan ujian air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah jenis methamphetamine.

Rosli menambah, penahanan kesemua suspek berdasarkan laporan polis yang dibuat anak mangsa pada 25 November lalu yang memaklumkan terdapat kes tembakan berlaku di sebuah rumah di Kampung Jaya Gading, di sini hingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan di leher.

Mangsa kini berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tengku Ampuan Afzan dan dilaporkan stabil

Kesemua suspek direman mulai semalam sehingga 2 Disember depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api penalti lebih berat 1971.