Dua suspek berusia 23 dan 30 tahun yang terbabit dalam kes ugutan terhadap Pengarah Penguat Kuasa Majlis Perbandaran Selayang (MPS) pada 13 Mei lalu, akan dituduh di Mahkamah Seksyen Selayang, esok.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, kes ini telah dirujuk kepada pihak timbalan pendakwa raya dan kedua-dua suspek ini akan dituduh di bawah Seksyen 427 dan 435 Kanun Keseksaan.

“Dengan tertangkapnya kumpulan ini, pihak IPD Gombak telah berjaya menyelesaikan kes tersebut. Dua kes yang berkaitan khianat dengan api terhadap Pengarah Penguat Kuasa Majlis Pembandaran Selayang.

“Jadi di sini saya menegaskan bahawa pihak polis tidak akan sesekali berkompromi dan apa jua perbuatan menakutkan dan juga mengancam penjawat awam atau penguat kuasa dalam menjalankan tugas mereka. Pihak polis IPD Gombak khususnya akan mengambil tindakan tegas bagi membanteras gejala sedemikian,” ujar Samsor.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar, di IPD Gombak, hari ini.

Jelasnya, siasatan mendapati kejadian terbabit bermotifkan rasa tidak puas hati berhubung tindakan tegas MPS yang menangani masalah pembuangan sampah di tapak berkenaan.

Katanya, pihaknya sama sekali tidak akan berkompromi dengan perbuatan menakut-nakutkan dan mengancam penjawat awam atau penguat kuasa dalam menjalankan tugas mereka.

Pada 13 Mei lalu, Pengarah Jabatan Penguatkuasa dan Keselamatan MPS, Norhayati Ahmad menerima ancaman daripada individu tidak dikenali apabila kediamannya di Taman Muhibbah, dekat sini, disimbah cat dan dibaling molotov cocktail (bom petrol).

Norhayati Ahmad yang baru menyandang jawatan itu berkata, kejadian berlaku pada 28 April dan 13 Mei lalu.

Rumahnya dibaling dua plastik cat merah pada kejadian pertama ketika beliau berada di luar negara atas urusan kerja. Pada 13 Mei, pelaku bertindak lebih agresif dengan membaling cat dan bom petrol sehingga menyebabkan berlaku letupan yang kuat serta kebakaran kecil pada bahagian bumbung.