Dua beradik lelaki cedera di beberapa anggota badan dipercayai dipukul ibu kandung mereka dan teman lelakinya dalam kejadian di sebuah bengkel di Permatang Tinggi, Bukit Mertajam.

Mangsa yang berusia 7 dan 5 tahun itu dipercayai dipukul menggunakan tangan, tali pinggang dan kayu kerana ibunya mendakwa anaknya degil dan nakal.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah , Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, kejadian disedari bapa saudara mangsa selepas mereka pulang ke rumahnya di Taman Keenways, di sini semalam selepas 10 hari berada dalam jagaan ibu kandung.

Shafee berkata, pengadu berusia 39 tahun itu, menemui kesan cedera seperti dipukul pada beberapa anggota badan mangsa dan mengesyaki berlaku penderaan.

"Susulan itu, dia kemudiannya membuat laporan polis berhubung insiden yang menimpa anak saudaranya sebelum merujuk Hospital Bukit Mertajam (HBM) untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.

"Mangsa memaklumkan ibu kandung dan teman lelakinya telah memukul mereka dengan tangan, kayu dan tali pinggang dalam sebuah bengkel," katanya di sini pada Ahad.

Shafee berkata, polis kemudian menahan ibu kandung mangsa yang berusia 33 tahun dan teman lelakinya berusia 28 tahun di perkarangan HBM kira-kira pukul 3.20 pagi semalam.

Katanya, hasil siasatan awal mendapati kedua-dua suspek mengaku memukul mangsa kerana degil dan nakal.

"Suspek memberitahu dia tinggal bersama teman lelakinya bekerja sebagai pemandu lori pada Mei lalu manakala anaknya pula tinggal di asrama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sejak Disember tahun lalu hingga Mac sebelum penjagaan diberikan kepada bapa saudara berikutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Bapa saudara mangsa kemudian menghantar mangsa kepada ibu kandung mereka pada 24 Jun hingga 3 Julai lalu kerana perlu membawa ibunya untuk temujanji rawatan kesihatan kerana bimbang tidak ada siapa yang akan menjaga mangsa," katanya.

Shafee menambah, kedua-dua suspek ditahan reman bagi membantu siasatan dan kes disiasat dibawah Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.