Dua beradik ditemui lemas selepas dihanyutkan arus deras ketika mandi di muara Sungai Balok di sini, petang tadi.

Mangsa dikenali sebagai Muhammad Amirul Mukminin Abu Hanifah, 11, dan adiknya, Muhammad Hafizul Iman, 10.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 7 malam dan lapan anggota dari Balai Bomba Penyelamat (BBP) Gebeng bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, sebaik sahaja tiba di tempat kejadian kita dapati memang ada kejadian berkenaan, namun mayat mangsa pertama iaitu Amirul Mukminin ditemui kira-kira jam 6 petang oleh orang awam yang kebetulan berada di tempat kejadian.

"Sementara pasukan penyelamat kemudiannya menemui mayat mangsa kedua pada pukul 9 malam kira-kira 200 meter daripada pantai Balok," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini, pada Jumaat.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa dibawa ke Klinik Kesihatan Balok sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di klinik kesihatan itu.

"Mayat mangsa sudah diserahkan kepada pihak polis dan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk proses bedah siasat," katanya.

Sementara itu, ketika kejadian mangsa dipercayai bersama dua lagi rakan mereka iaitu Ahmad Adam Naufal Ahmad Yamizi, 11, dan Mohamad Lokman Hakim Suhamizan, 11, bermandi-manda di muara sungai tersebut.

Bagaimanapun kedua-dua mereka berjaya diselamatkan oleh orang awam.