Dua beradik ditemui dalam keadaan berpelukan selepas dilaporkan hilang ketika bermain air di alur Sungai Paka, Dungun, di sini malam tadi.

Mohd Zaidanie Amsyar Zaidi , 6 tahun dan adiknya Mohammad Zaidanie Ammar Zaidi, 4 tahun dijumpai selamat dengan berpaut pada sebatang pokok bakau kira-kira jam 9.45 malam selasa.

Mangsa dikatakan keluar bermain di sekitar kawasan tersebut pada jam 3 petang dan kehilangan mereka disedari oleh neneknya, Rogayah Ibrahim, 60 tahun sejam selepas itu.

Menurut ibu saudara mangsa, Roslinda Zakaria panik dengan kehilangan tersebut gerakan mencari dilakukan sebelum kedua mereka dikesan 6 jam selepas itu.

Katanya ketika mencari dia mengesan suara kanak-kanak menangis sebelum mengarahkan adiknya untuk masuk ke dalam hutan paya berhampiran.

“Mula-mula saya masuk dengan adik dua orang kawasan paya itu memang sunyi. Kemudian saya terdengar bunyi suara menangis dan paras air pada waktu itu diparas leher.

Sementara itu, Pegawai Zon II Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Mohd Zailani Abdullah berkata seramai 14 kekuatan dikejarkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan pada jam 8.08 minit malam.

Menurutnya operasi pencarian melibatkan kawasan seluas satu kilometer persegi dari lokasi yang dilaporkan hilang.

Kita menemui mangsa pada jam 9.47 minit malam pada jarak lapan ratus meter daripada selipar yang dijumpai dan juga mereka dijumpai dalam keadaan berpelukan di atas pokok.

“Kita juga percaya mangsa telah cuba untuk naik ke atas pokok selepas air pasang bagi menyelamatkan diri,” katanya yang memberitahu operasi dihentikan pada jam 10.30 malam.