Tutup

Dua beradik lemas perahu karam ketika memancing

Dua beradik lemas perahu karam ketika memancing
Mayat Mohd Haziq Nur Aiman, dijumpai jam 2.45 petang oleh penduduk kampung manakala mayat Mohd Hazim Nur Aiman dijumpai jam 3 petang oleh pihak bomba bersama penduduk kampung. - Gambar hiasan
KOTA SAMARAHAN: Dua beradik mati lemas selepas perahu dinaiki bersama bapa mereka karam ketika memancing di Sungai Plaie dekat sini tengah hari Sabtu.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak Nor Hisham Mohammad berkata terdahulu mangsa Mohd Haziq Nur Aiman, 15, Mohd Hazim Nur Aiman, 13, serta bapa mereka Peni Muhi sedang memancing sebelum perahu terbalik akibat ditiup angin.

Akibat kejadian itu, Peni berjaya menyelamatkan diri namun dua beradik tersebut dihanyutkan arus deras.
Nor Hisham berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 1.09 tengah hari sebelum sepasukan sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Samarahan digerakkan ke lokasi kejadian untuk membantu operasi mencari dan menyelamat.

"Komander operasi melaporkan mayat Mohd Haziq Nur Aiman, dijumpai jam 2.45 petang oleh penduduk kampung manakala mayat Mohd Hazim Nur Aiman dijumpai jam 3 petang oleh pihak bomba bersama penduduk kampung," katanya dalam satu kenyataan di sini.
Beliau berkata mayat kedua-dua mangsa dibawa ke hospital untuk dibedah siasat. -- Bernama