Tutup

Dua beradik serang guru ditahan reman empat hari

Dua beradik serang guru ditahan reman empat hari
Perintah tahanan reman ke atas kedua-dua lelaki itu, masing-masing berusia 42 dan 30 tahun, dikeluarkan di Mahkamah Majistret Bachok oleh Majistret Azem Fatihi Kamal. foto Polis DiRaja Malaysia
BACHOK: Dua beradik yang disyaki menyerang seorang guru di sebuah sekolah menengah di Gunong di sini ditahan reman selama empat hari bermula hari ini sehingga Jumaat ini, bagi membantu siasatan.

Perintah tahanan reman ke atas kedua-dua lelaki itu, masing-masing berusia 42 dan 30 tahun, dikeluarkan di Mahkamah Majistret Bachok oleh Majistret Azem Fatihi Kamal.
Kedua-dua lelaki terbabit, yang menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Bachok semalam, disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan bagi kesalahan memukul dan Seksyen 447 Kanun Keseksaan kerana menceroboh.

Ahad lepas, tular satu rakaman video berdurasi 3 minit 31 saat memaparkan dua lelaki menyerang seorang guru di dalam perkarangan sebuah sekolah akibat salah faham berhubung anak saudara jagaannya yang digantung persekolahan.
Video itu turut memperlihatkan seorang daripada suspek bertindak mengasari dan cuba mengheret guru berusia 52 tahun ke luar pagar sekolah.

-- BERNAMA