Dua beradik sesat ketika mendaki Bukit Pelindung ditemui selamat

Dua beradik sesat ketika mendaki Bukit Pelindung ditemui selamat
Mohamad Noor berkata dua beradik itu tidak mengalami sebarang kecederaan namun hanya keletihan dan telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan untuk mendapatkan rawatan. - Gambar fail
KUANTAN: Dua beradik wanita yang dilaporkan sesat selepas memasuki kawasan hutan di Bukit Pelindung, di sini petang tadi ditemui selamat oleh orang awam di kaki bukit itu berhampiran Teluk Cempedak, malam ini.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohamad Noor Yusof Ali berkata kedua-dua mangsa masing-masing berumur 29 dan 22 tahun sebelum itu dilaporkan telah memasuki trek hutan bukit berkenaan untuk beriadah pada pukul 5.30 petang.

"Bagaimanapun kedua-dua mereka gagal dihubungi oleh anggota keluarga selepas itu menyebabkan salah seorang daripada saudara mangsa membuat laporan polis tentang perkara berkenaan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini malam ini.
Berikutan itu operasi mencari dan menyelamat telah dilakukan oleh pasukan polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Persatuan Hiking Pahang dan anggota keluarga sebelum mangsa berjaya ditemui lima jam kemudian iaitu pada pukul 10.15 malam ini oleh orang awam.

Katanya kedua beradik itu tidak mengalami sebarang kecederaan namun hanya keletihan dan telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk mendapatkan rawatan.

-- BERNAMA