Dua beranak dari Kampung No. 4, Kuching merupakan korban terbaharu COVID-19 di Sarawak, menjadikan jumlah keseluruhannya tiga orang.

Mangsa pertama berusia 79 tahun menghembuskan nafas terakhir pada jam 2.15 pagi 18 Mac lalu manakala anaknya, 40 tahun meninggal dunia pada jam 1.20 petang 21 Mac.

Seorang lagi ahli keluarga ini masih dalam rawatan di Hospital Umum Sarawak dan memerlukan bantuan pernafasan mekanikal.

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, pelaporan kes kematian pertama akibat COVID-19 daripada keluarga ini lambat diterima daripada hospital swasta yang merawat kes kerana menunggu keputusan ujian makmal yang telah dihantar ke makmal swasta di Kuala Lumpur.

Sementara itu, Sarawak mencatatkan pertambahan sepuluh lagi kes baharu positif COVID-19, menjadikan jumlah bilangan kes di Sarawak sebanyak 68 kes sejak kes positif pertama dilaporkan pada 13 Mac lalu.

Dua kes baharu ini dirawat di Hospital Umum Sarawak, lima kes di Hospital Sibu, dua di Hospital Bintulu manakala seorang telah meninggal dunia di Kuching semasa keputusan ujian pengesahan diperolehi.

Pada hari ini, sebanyak 37 kes baharu Person Under Investigation (PUI) jangkitan COVID-19 yang dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 751 kes.

Sebanyak 711 kes adalah negatif dan 40 kes PUI masih menunggu keputusan makmal.