Terkapai-kapai meminta pertolongan sebelum dihanyutkan arus deras.

Itu antara detik terakhir dua beranak yang dilihat orang awam di Sungai Langat belakang kawasan perumahan Taman Bangi Perdana, di sini.

Seorang bapa dan anak remajanya maut dipercayai selepas lemas ketika memancing di sungai tersebut pagi ini.

Beberapa pemancing yang menyedari kejadian itu cuba menyelamatkan mangsa namun gagal.

Balai Bomba dan Penyelamat Bangi yang menerima panggilan kecemasan 10.15 pagi dan tiba lima minit kemudian bergegas melakukan operasi mencari dan menyelamat.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bangi, Rosman Majid berkata, unit skuba dan unit pengesan anjing juga digunakan bagi mengesan mangsa.

Katanya, bagaimanapun, mangsa pertama dikenali sebagai Roslan Ismail ditemui pada jam 1.52 petang manakala anaknya Ahmad Azrifaiz Roslan pula ditemui kira-kira 30 minit kemudian.

"Maklumat awal yang kami terima daripada saksi menjelaskan mangsa terkapai-kapai sekitar enam meter daripada tebing.

"Pada masa itu, ada cubaan hendak menyelamatkan mereka tetapi arus terlalu deras menghanyutkan kedua-dua beranak itu," katanya.

Kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.