Dua beranak maut dan dua lagi cedera parah selepas kereta dinaiki mereka dirempuh sebuah lori 12 tan yang membawa muatan tanah di Kampung Sungai Soi di sini, hari ini.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuantan Md Yusof Husin berkata Tuan Mohd Zulhaizee Tuan Temeran, 38, dan ibunya Kelsom Hamat, 66, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah dalam kemalangan kira-kira 4.50 petang itu.

"Bomba mengambil masa selama kira-kira 15 minit untuk mengeluarkan Tuan Mohd Zulhaizee yang tersepit di bahagian pemandu manakala mayat ibunya yang berada di bahagian penumpang belakang telah dikeluarkan oleh orang awam.

"Dua lagi mangsa iaitu bapa (Tuan Temeran) dan seorang lagi anaknya yang parah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk rawatan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Md Yusof berkata kemalangan berlaku apabila lori dari Sungai Soi ke Kuantan terbabas ke laluan bertentangan dan melanggar kereta Proton Iswara yang dinaiki mangsa.

"Kami juga diberitahu bahawa pemandu lori itu telah menghilangkan diri selepas kemalangan," katanya.

-- BERNAMA