Seorang ibu dan anak lelakinya nyaris rentung dalam kejadian kebakaran di Jalan Sungai Daun, Kampung Sungai Daun, Kota Sarang Semut, dekat Alor Setar, pada Rabu.

Dalam kejadian pukul 12.30 tengah hari itu, ibu terbabit sempat menarik tangan anaknya selepas menyedari api mula membakar bahagian dapur rumah mereka.

Ketika kejadian, suami wanita berusia 51 tahun itu tiada di rumah kerana keluar berkerja.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya tiba di lokasi kejadian api sedang marak.

Menurut beliau, api berjaya dipadamkan 15 minit kemudian dan rumah terbabit musnah kira-kira 90 peratus.

Turut musnah terbakar dua buah motosikal yang diletakkan di dalam rumah.

Katanya, 10 anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Guar Chempedak dan dibantu 15 anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Kota Sarang Semut, Sungai Limau Dalam, Simpang Empat dan Kampung Baru.

Beliau berkata, kerugian dianggarkan RM35,000.